Friday, November 04, 2011

BAYI TABUNG UJI

MENURUT PERSPEKTIF SAINS
AHMAD SHUIB YAHAYA

1. PENDAHULUAN
1.1 Kelahiran Louise Brown melalui persenyawaan luar rahim (In Vitro Fertilization)
pada 1978 membuka lembaran baru dan merupakan batu loncatan dalam dunia
rawatan reproduksi. Peristiwa berkenaan telah mengubah pilihan rawatan bagi
pasangan yang menghadapi masalah ketidak suburan. Setelah itu, teknik-teknik
penggalak hamil telah berkembang begitu pesat sekali. Dalam tempoh singkat 20
tahun, IVF telah menjadi subjek atau perkara utama dalam teknologi pembiakan
dan klinik-klinik terutamanya di negara maju kini telah melakukan teknik-teknik
rutin yang segenerasi lalu hanya menjadi bualan fiksyen sains.
1.2 InsyaAllah, kertas kerja ini akan menolong kita sama-sama memahami secara
asas tentang beberapa “teknologi reproduksi bantuan” (Assisted Reproduction
Technology) yang berkaitan dengan BAYI TABUNG UJI antaranya:
1.2(a) Persenyawaan Luar Rahim (IVF)
1.2(b) Pemindahan Gamet Dalam Fallopio atau Gamet Intra-Fallopian Transfer
(GIFT)
1.2(c) Penyimpanan dan Pendermaan Sperma, Ovum (telur) dan Embrio
1.2(d) Diagnosis Genetik pra-penempelan atau Preimplantation Genetic
Diagnosis (PGD) dan pemilihan jantina bayi
1.2(e) Ibu Tumpang
1.2(f) Permanian Beradas (Artificial Inseminatio/Intra-Uterine Insemination-IUI)
1.3 Semoga kertas kerja ini dapat memberi pemahaman atau setida-tidaknya
gambaran tentang topik bayi tabung uji ini secara saintifik dan khususnya untuk
para penuntut Pengajian Islam di Universiti Al-Azhar, agar dapat memahami
perkara ini dengan jelas supaya sebarang pandangan dan kajian hukum
mengenainya dapat dilaksanakan dengan baik.
2. DEFINISI
2.1 BAYI TABUNG UJI
2.1(a) bayi yang dilahirkan oleh seorang perempuan hasil daripada persenyawaan
ovumnya dengan sperma suaminya di luar tubuh perempuan itu. (rujukan:
Kamus Jururawat BI-BM, Fajar Bakti)
3. SEJARAH
3.1 Kaedah kelahiran bayi tabung uji melalui teknik Persenyawaan Luar Rahim (IVF)
berjaya dilakukan pada mulanya ke atas haiwan. Orang pertama
bertanggungjawab melaksanakannya adalah Dr. Shang di Boston, US pada tahun
1959 yang telah berjaya dengan teknik IVF ke atas arnab (menggunakan sperma
dan telur arnab lalu dimasukkan ke dalam rahim arnab).
3.2 Kejayaan seterusnya dilakukan ke atas tikus pada 1968.
3.3 Pakar pertama melakukan kaedah IVF ini ke atas manusia adalah Dr. Robert
Edwards pada tahun 1965 dan usaha yang membawa kehamilan pertama berjaya
dilakukan pada tahun 1976. Malangnya, kehamilan tidak normal berlaku iaitu
kehamilan ektopik (embrio tertempel pada tiub Fallopio atau salur rahim) dan
pembedahan terpaksa dilakukan bagi memotong tiub berkenaan.
3.4 Pada 11.47pm, 25 Julai 1978 di Oldham General Hospital, England, lahirnya
bayi tabung uji pertama dalam sejarah dunia, Louise Brown atas usaha (Prof) Dr.
Robert Edwards di samping Dr Patrick Steptoe. Kejayaan tersebut terhasil
selepas 100 percubaan menemui kegagalan.
3.5 Selepas detik kelahiran Louise Brown, pelbagai teknik baru berkaitan IVF dan
bayi tabung uji diperkenalkan dan lahir pusat-pusat serta klinik yang menawarkan
teknik ini kepada pasangan yang menghadapi masalah kesuburan. Dan sejak itu,
lebih sejuta kelahiran melalui IVF telah direkodkan di hampir setiap negara
seluruh dunia.
4. IVF
4.1 SEKILAS PANDANG
4.1(a) IVF (In Vitro Fertilization) atau Persenyawaan Luar Rahim adalah asas bagi
Teknologi Pembiakan Gesaan (Basic Assisted Reproduction Technique). Secara asasnya,
teori IVF adalah persenyawaan berlaku dalam vitro (kaca). Sperma lelaki dan ovum (telur)
perempuan dicampurkan dalam satu piring makmal dalam persekitaran yang sesuai.
Setelah disenyawakan, embrio yang terhasil akan dipindahkan ke dalam rahim.
4.1(b) Langkah asas dalam teknik IVF:
(i) Pengovulasian (merangsang ovari supaya menghasilkan lebih dari satu
ovum atau telur untuk satu kitar haid)
(ii) Pengeluaran telur
(iii) Persenyawaan
(iv) Pengkulturan embrio
(v) Pemindahan embrio
4.2 KENAPA IVF?
4.2(a) IVF adalah salah satu pilihan bagi pasangan yang menghadapi pelbagai masalah
kesuburan. Teknik ini membolehkan para doktor melaksanakan proses yang
sepatutnya berlaku atas kelamin.
4.2(b) Pada mulanya, teknik IVF ini hanya dilaksanakan dalam keadaan tiub Fallopio
perempuan yang tersekat, musnah atau tiada langsung.
4.2(c) Kini, secara praktikal, IVF digunakan bagi mengatasi masalah kemandulan yang
berpunca dari pelbagai masalah lain. Antaranya:
(i) endometriosis (tisu rahim yang tidak nomal-wujud di luar rahim)
(ii) masalah imunisasi (daya tahan badan)
(iii) kemandulan yang tidak diketahui puncanya
(iv) kemandulan yang berkaitan dengan lelaki.
4.3 UJIAN SEBELUM MELAKUKAN IVF
4.3(a) Untuk melaksanakan IVF, hanya tiga perkara diperlukan:
(i) Telur atau Ovum
(ii) Sperma
(iii) Rahim atau Uterus
4.3(b) Sebelum melakukan kaedah tersebut, pakar perubatan akan melaksanakan
beberapa ujian:
(i) Ujian Ketahanan Sperma. Ujian ini dilakukan dengan cara mengeluarkan
mani menggunakan cara sama yang akan digunakan dalam proses sebenar
(misalnya secara masturbasi). Ujian ini bertujuan untuk memeriksa
samada bilangan sperma yang ada dalam cecair mani lelaki mencukupi
untuk proses IVF. Ujian ini juga penting bagi memilih kaedah yang sesuai
digunakan dalam makmal bagi mengendalikan sperma untuk proses IVF.
(ii) Ujian hormon FSH dalam darah. FSH adalah hormon yang
bertanggungjawab merangsang pengeluaran telur. Ujian ini bertujuan
memastikan ovari mampu mengeluarkan telur yang cukup selepas proses
pengovulasian. Untuk wanita yang berumur, ada ujian lain dilakukan. Jika
didapati tanda awal kegagalan ovari, mungkin telur penderma perlu
digunakan.
(iii) Ujian hysteroscopy. Ujian ini dilakukan bagi memastikan ruang rahim
betul-betul normal. Beberapa klinik juga akan menjalankan ujian swab test
(pengambilan cecair dari faraj) untuk mengesan jangkitan yang terdapat
pada serviks (pangkal rahim).
(iv) Bagi lelaki yang menghadapi masalah mengeluarkan air mani apabila
diperlukan, klinik boleh membekukan sampel mani dan menyimpannya
sebagai langkah berjaga-jaga. Ini bagi memastikan proses IVF tidak
tergendala kerana masalah bekalan mani yang terputus.
(v) Beberapa ujian darah. Antara ujian yang dilakukan adalah ujian ketahanan
rubella, ujian Hepatitis B dan ujian AIDS.
4.3(c) Pesakit yang memiliki peluang kejayaan IVF yang rendah:
(i) Wanita berumur yang menghadapi masalah kegagalan ovari. Umur
merupakan antara faktor utama menentukan kejayaan IVF. Sesetengah
Pusat Rawatan mengehadkan umur wanita 45 tahun untuk menerima
rawatan. Walaupun sudah ada rekod wanita yang menopause (putus haid)
berjaya hamil dengan kaedah IVF, tetapi menggunakan telur derma.
(ii) Pasangan lelaki yang mempunya bilangan sperma yang amat rendah.
Kebanyakan klinik hanya melaksanakan kaedah IVF ini ke atas lelaki
yang memiliki bilangan sperma aktif melebihi 3 juta. Jika bilangan lebih
rendah dari 3 juta, ICSI (suntikan mikro) boleh dilakukan sebagai pilihan
yang baik.
(iii) Wanita yang mempunyai rahim yang rosak (misalnya kerana tuberculosis
atau TB) kerana peluang kejayaan penempelan embrio (lalu menyebabkan
kehamilan) amat rendah.
4.4 LANGKAH ASAS DALAM IVF
4.4(a) PENGOVULASIAN ATAU PENGGALAK OVULASI
(i) Semasa proses penggalak ovulasi, beberapa jenis ubat (drugs) digunakan
bagi menggalakkan ovari menghasilkan beberapa ovum atau telur matang
berbanding hanya satu untuk setiap bulan dalam keadaan normal. Ini
dilakukan kerana peluang kehamilan akan meningkat jika lebih banyak
telur tersenyawa dimasukkan ke dalam rahim dalam proses rawatan IVF.
Antara drug/hormon yang sering digunakan adalah HMG, FSH, HCG dan
GnRH.
(ii) Pengimejan Ultrabunyi (Ultrasound scan) dilakukan pada hari ketiga
untuk memastikan tidak berlaku radang atau masalah lain pada ovari.
Sepanjang proses pengovulasian ini juga, keadaan ovari dan hormonhormon
sentiasa dikawal bagi mengesan sebarang masalah yang timbul.
(iii) Dengan pengawasan keadaan ovari dan kandungan hormon, masa matang
telur-telur dapat dianggar. Ini membolehkan telur matang dikeluarkan
pada masa yang sesuai. Masa biasa untuk mengambil telur matang adalah
36-39 jam selepas drug atau hormon disuntik.
(iv) Kegagalan teknik IVF boleh berlaku jika pengovulasian tidak
menghasilkan bilangan telur yang mencukupi. Antara sebabnya adalah
kegagalan ovari memberi tindak balas dan keadaan ini lebih biasa berlaku
ke atas wanita berumur.
(v) Tetapi, jika pengeluaran telur yang terlalu banyak juga boleh menjadi
penyebab proses rawatan IVF dibatalkan. Hal ini demikian kerana risiko
sindrom hiperstimulasi (hyperstimulation syndrome) menjadi sangat tinggi.
4.4(b) PENGELUARAN TELUR
(i) Pengumpulan telur dilakukan menggunakan kaedah ultrabunyi sebagai
panduan. Proses ini merupakan satu pembedahan kecil di bawah pelalian
(local anaesthetic). Prob ultrabunyi beserta jarum khas dimasukkan
melalui faraj. Telur-telur matang kelihatan pada skrin sebagai bulatan
hitam.
(ii) Cecair folikel yang mengandungi telur matang kemudiannya disedut ke
dalam jarum khas kemudian ke dalam tabung uji, sebiji demi sebiji.
Teknik yang memerlukan kemahiran tinggi ini mengambil masa antara 10
hingga 40 minit, bergantung kepada bilangan telur yang ada. Secara purata,
sebanyak 4 hingga 16 biji telur dikumpul dari setiap pesakit.
(iii) Cara lama untuk proses ini adalah menggunakan laparoskopi (jarum khas
dimasukkan melalui lubang yang ditebuk pada abdomen).
4.4(c) PROSES PERMANIAN, PERSENYAWAAN DAN PENGKULTURAN
EMBRIO
(i) PERMANIAN
• Cecair folikel (bersama telur) yang dikumpul segera dibawa ke
makmal dan akan diperiksa oleh ahli embriologi untuk mengenal
pasti telur-telur. Telur-telur akan dipindahkan ke dalam incubator
dan sperma akan ditambah kepadanya (proses permanian).
Permanian boleh dilakukan sebaik selepas proses pengeluaran telur
tetapi biasanya dialakukan selepas 2 hingga 6 jam.
• Suami biasanya akan menyediakan air mani pada hari telur
dikeluarkan. Sperma kemudiannya diasingkan dan digunakan
untuk mempersenyawa telur-telur. Segelintir lelaki akan
menghadapai masalah mengeluarkan air mani pada masa yang
diperlukan disebabkan faktor-faktor tekanan dan sebagainya.
Antara pilihan yang ada adalah menggunakan sperma yang telah
disejuk beku lebih awal.
• Bagi lelaki yang menghadapi masalah erectile dysfunction,, Viagra
(sildenafil citrate) boleh digunakan. Juga untuk penegangan, alat
gegaran (vibrator) biasa digunakan. Tetapi, kebiasaannya,
kebanyakan Pusat Rawatan akan menggunakan kaedah Sperm
Aspiration (menyedut sperma terus dari testis)
(ii) PERSENYAWAAN
• Sejumlah sperma (biasanya 100 000 sperma per ml) diletakkan
bersama setiap biji telur dalam piring berasingan. Piring tersebut
mengandungi medium kultur khas untuk IVF. Piring diletakkan
dalam incubator karbon dioksida dengan suhu 37 darjah Celsius
(suhu badan). Kandungan kultur dan keadaan persekitaran direka
untuk menyamai medium dan keadaan dalam tiub Fallopio (di
mana persenyawaan normal berlaku dalam tubuh) bagi
membolehkan proses persenyawaan dan perkembangan embrio
berlaku dengan normal.
• 18 jam selepas permanian, pakar embriologi akan memeriksa dan
memilih sampel telur yang tersenyawa. Sampel yang gagal akan
dibuang atau digunakan untuk penyelidikan Kejayaan atau
kegagalan dalam proses persenyawaan ini masih tidak dapat
dikawal oleh pakar. Cuma beberapa faktor dikenal pasti
menyebabkan kadar kejayaan rendah. Antaranya adalah masalah
makmal, masalah sperma atau masalah telur.
(iii) PENGKULTURAN
• Embrio yang telah disenyawakan dengan normal akan dibiar dalam
keadaan kultur. Mereka akan terus membahagi dan kualiti akan
dinilai selepas 24 jam. Embrio berkualiti akan membahagi dengan
pantas dan embrio yang sihat biasanya mempunyai 2 hingga 4 sel
sama saiz.
• Kedapatan para pesakit yang bimbang telur, sperma atau embrio
mereka bercampur dengan milik orang lain. Risiko ini memang
boleh berlaku, tetapi hari ini, dengan adanya makmal-makmal
canggih dan sofistikated, ianya amat rendah.
• Selepas 48 hingga 72 jam apabila embrio biasanya terdiri daripada
2 hingga 8 sel, embrio berkenaan sudah bersedia untuk
dipindahkan ke dalam rahim wanita.
4.4(d) PEMINDAHAN EMBRIO
(i) Pemindahan embrio biasanya dilakukan sebagai kaedah mudah. Biasanya,
tiada anaesthetic digunakan. Walau bagaimanapun, segelintir wanita
mungkin meminta sedikit pelalian.
(ii) Kaedah pemindahan dilakukan dalam keadaan wanita berkenaan berbaring
di atas katil atau meja dengan kaki dilipat. Menggunakan speculum vagina,
8
doktor akan membuka bukaan rahim. Satu atau lebih embrio dalam cecair
kultur akan dipindahkan ke dalam caterer (tiub panjang, halus yang telah
disteril) yang mempunyai penyedut pada satu hujung. Dengan cermat,
doktor akan memasukkan hujung caterer berkenaan ke dalam serviks lalu
menyalurkan cecair mengandungi embrio ke dalam rahim. Proses ini
biasanya memakan masa 10 hingga 20 minit diikuti rehat beberapa jam
dalam keadaan berbaring.
(iii) Jika embrio yang dipindahkan berkualiti rendah, ia hanya akan
merendahkan risiko kehamilan. Anak yang terhasil, jika hamil dari embrio
berkualiti rendah berkenaan tidak menyebabkan anak dilahirkan cacat.
(iv) Antara konflik yang dihadapi dalam IVF adalah berapa embrio yang perlu
dipindahkan ke dalam rahim wanita? Kebanyakan klinik kini
mengehadkan bilangankepada tiga embrio sekali pemindahan. Malah,
terdapat beberapa klinik yang memindahkan hanya satu embrio untuk
setiap proses pemindahan.
Perkara ini menjadi konflik kerana pemindahan lebih banyak akan
meningkatkan peluang kehamilan tetapi juga meningkatkan risiko
kehamilan berbilang (kembar).
(v) Secara teorinya dan praktikalnya, rawatan IVF akan tamat setakat ini.
Proses kehamilan seterusnya berlaku secara biasa jika berjaya.
4.5 KUNCI KEJAYAAN IVF
4.5(a) Antara kunci kejayaan IVF ini adalah:
(i) Lebih satu telur dihasilkan
(ii) Telur-telur yang terhasil mesti matang
(iii) Ovulasi tidak berlaku sebelum telur-telur dapat dikumpul
(iv) Telur berada pada kedudukan yang sesuai untuk dikumpul
(v) Sperma perlu mempersenyawakan sekurang-kurangnya satu telur
(vi) Telur yang tersenyawa mesti membahagi dan membesar dengan normal
(vii) Embrio dapat menempel pada dinding rahim
4.5(b) Secara amnya, peratus kejayaan rawatan IVF adalah lebih kurang 75% (berbezabeza
bergantung kepada klinik atau pusat rawatan)
4.6 MASALAH PENEMPELAN (Mengapa tidak semua embrio menghasilkan
anak?)
4.6(a) Antara masalah utama dalam kaedah IVF adalah embrio yang dipindahkan tidak
berjaya menempel pada dinding rahim. Meskipun embrio yang terhasil kini boleh
dianggap berkualiti hasil daripada makmal moden hari ini, tetapi proses

penempelan tetap sukar diakawal kerana ianya merupakan satu proses yang
kompleks. Kita tidak dapat mengenal pasti embrio mana satu yang akan menjadi
bayi.
4.6(b) Secara purata, hanya 10% daripada embrio yang dipindah ke dalam rahim berjaya
menghasilkan anak. Hal ini ada kaitan dengan teknologi kini yang tidak mampu
memahami bagaimana proses penempelan dikawal. Kini, antara bidang kajian
paling utama di kalangan pakar reproduksi adalah penempelan embrio. Apabila
proses ini dapat difahami dan dapat dikawal, teknik IVF akan menjadi lebih
berkesan.

No comments:

Post a Comment